Sunday, April 17, 2011

ALLAHYARHAM AYAHANDA JEMALI BIN OMAR

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Aku harap mereka yang baca blog aku ni dapatlah sedekahkan Alfatihah kepada arwah ayahanda aku, JEMALI BIN OMAR yang meninggal pada 14.4.2011 pukul 6.15 pagi. Beliau telah selamat disemadikan di T6513 , Pusara Bukit Alif Johor Bahru.

Sebenarnya pagi tu aku patut berada di UTHM Batu Pahat, tapi aku tak pergi. Adik ipar aku telefon pukul 6.45 pagi, kata ayah tak de nadi dan nafas dan dia dah telefon ambulan. Anak aku yang sulung dah ke sekolah kat SMV Yahya Aldatar. Pukul 7.05 pagi dia telefon, paramedik sahkan dah meninggal dunia. Maka apa yang aku fikir ialah bermulalah tugas aku sebagai anak untuk menguruskan jenazah ayah aku.

Aku terus ke rumah adik aku di Bukit Kempas di mana jenazah ayah aku berada. Di situ ada beberapa jiran; termasuk aku ada 4 lelaki. Makcik Tom, adik ayah pun ada. Perkara pertama ialah memindahkan jenazah ke ruang tamu untuk memudahkan urusan. Jenazah perlu diikat kepalanya supaya mulut tidak terlalu terbuka. Kemudian tangannya perlu diletakkan dalam keadaan qiam, di atas perut. Oleh kerana ayah aku memakai pampers, ia perlu dibersihkan dan disalin. Kain ayah aku perlu ditukar lain yang mukanya perlu ditutup.

Dalam masa terluang, aku ambil anak aku kat sekolah sebelum jenazah dimandikan. Aku nak mereka lihat atuk mereka untuk kali terakhir. Aku kata dengan anak aku nak jumpa atuk. Anak aku yang bongsu suka, kata dia boleh tengok atuk. Yang dia tak tahu atuk dia dah meninggal. Semua aku dah ambil kecuali kat SMV sebab kena balik untuk mandikan jenazah. Lagipun adik aku ada kat Balai Polis untuk repot polis dan dapatkan permit kubur. Nasib baik bila aku sampai, abang ipar aku offer nak ambilkan. Alhamdulillah, bantuan Allah datang tanpa disangka-sangka.

Jenazah dimandikan pada pukul 11.00 pagi. Aku dan adik lelaki aku melibatkan diri dalam memandikan jenazah ayah aku. Sambil memandikan mayat, tukang mandi mengajar cara-cara memandikan mayat dengan tertib. Kena bersihkan perut dia, bersihkan celah kuku tangan dan kaki, korek telinga dan hidung. Dalam ruang mandi tu, ada aku, paman yunus (adik ayah), bahagia (adik aku), cik semek (laki cik ros), cik wahid (anak pak hitam), faizal (anak mak ngah). Habis mandi, aku megambilkan wuduk untuk jenazah ayah aku atas bimbingan tukang mandi.

Lepas tu jenazah diletakkan pada kain putih yang telah disediakan awal. Jenazah dicelakkan, ditabur minyak wangi, daun pandan dan dikafankan. Setelah siap, ada ruang masa untuk hadirin melihat jenazah sebelum ditutup dan disolatkan. Adik perempuan aku tiba selepas mayat disolatkan. Dia nak tengok jenazah tapi tak de orang nak buka. Tapi akhirnya dapat juga bila pemandu van jenazah tu rakan baik aku, En Sulaiman Mohd Noor tolong buka. Alhamdulillah, sekali lagi bantuan Allah tiba tanpa disangka-sangka.

Sebelum jenazah meninggalkan rumah, diaorang tolak aku; kena bagi ucapan. Aku biasa tengok imam yang buat tapi kali ni aku kena buat sebab anak lelaki ayah aku. Memula aku bagi salam menghadap jenazah. Tapi dibetulkan sepatutnya mengadap luar, jenazah dibelakang aku. Ucapannya ialah

"Pada hari ini, saya ingin meminta maaf kalau ada salah silap ayah saya, minta halal makan minumnya, minta didoakan kebaikannya. Seterusnya jika ada ayah saya terhutang pada hadirin, bolehlah dituntut dari kami supaya jenazah ayah saya menjadi jenazah yang baik, Alfatihah!"

Kemudian setiap langkah berhenti dan dibacakan alfatihah hingga masuk ke dalam van jenazah menuju ke kubur. Jenazah diturunkan ke liang lahad dan ditimbus dengan tanah. Talkin dan doa dibacakan. Bila aku sampai ke rumah, abang aku dari Kuala Lumpur dah tiba.

No comments: