Wednesday, April 20, 2011

TAHLIL ARWAH

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Hari ni aku ambil giliran melaksanakan tahlil arwah ayah aku 7 hari. Aku dah uruskan dari hari Isnin dengan berbincang bersama AJK surau KIP dan dapat persetujuan mereka. Aku hubungi tukang masak surau KIP, En Zainal. Dia bagi menu; daging masak kicap, sayur kubis, ikan kering dan sambal belacan. Jadi pagi tadi aku pergi pasar membeli barangan yang dinyatakan. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar.

Sambil-sambil tu aku terkenangkan seperkara...

Dah 7 hari aku tak de ayah. Aku ingat lagi, bila aku tukar lampin ayah malam Rabu tu, aku tengok ayah sedang tidur selepas makan dan minum. Aku berharap dapat jumpa ayah pada Khamis esoknya. Memang aku jumpa ayah tetapi jenazahnya sahaja. Itu le bila dah tak de ayah baru rasa nak ada ayah.

Ayah aku akan cuba tolong habis-habisan kalau aku ada masalah. Aku ingat dulu van aku mati kat Sedenak. Dia sanggup bawa pomen dari JB. Lepas tu esoknya dia cari pomen dari Kulai pula, Man Botak gelarannya. Setiap malam 3 hari berturut-turut dia pergi ke sana. Pomen ni lak mula kerja lepas pukul 6.30 petang. Kalau ada masalah tunggu besok sebab kedai sparepart tak buka malam. Masa tu van aku kat parking tol Sedenak. Bila tayar aku bocor kat Carrefour, tak de tayar spare (tayar spare pun bocor), malam-malam dia datang. Bila aku mesyuarat/ kursus, dia bagi makan ikan keli aku dan hantar anak-anak aku ke sekolah.

Ayah aku banyak kawan dan peramah. Sampai akhir hayatnya, dia menjadikan rakan satu wadnya sebagai rakan. Pernah adik aku ditegur kerana menghina rakan sewadnya.
"Ayah pakai penutup hidung, kawan ayah ada Tibi, tu yang berjangkit tu.."
"Dia kawan ayah, bila anak-anak balik, dia jaga ayah.."

Sewaktu dalam wad, dia pernah bercerita kenapa duduk di Taman Century; bukannya di kawasan Melayu seperti Majidee, Kampung Melayu ataupun Bakar Batu. Dia kata ayah nak anak-anak ayah tak macam anak orang lain. Kalau duduk di kawasan Melayu atau setinggan, anak ayah akan hancur. Prinsip ini yang menyebabkan ayah menolak tawaran membeli ataupun membangunkan rumah di kawasan setinggan. Memang sejak kecil, aku dan adik beradik yang lain dipaksa ayah menghafal sifir dan membaca suratkhabar News Strait Times. Kemudian kena terjemah petikan akhbar dalam bahasa Melayu. Seksanya masa kecil, tetapi bila masuk universiti, aku tidak mempunyai masalah membaca buku rujukan Inggeris yang tersusun di rak kerana tiada pelajar Melayu nak berebut buku Inggeris. Tugasan yang diberi biasanya aku dapat selesaikan dengan cepat.

Sewaktu ayahku masih bekerja Shell, hidup kami senang. Setiap akhir tahun, kami sekeluarga akan berjalan keliling Malaysia. Kadang-kadang Pantai Timur, kadang-kadang Pantai Barat. Kalau ayah penat, kita akan tidur hotel. Tak tahu aku berapa banyak duit ayah habis untuk perjalanan itu.

Sebenarnya, ayah aku yang suruh aku ambil borang jadi cikgu. Agaknya dia pun pening masa tu gaji aku kecil je. Alhamdulillah, ada rezeki aku sampai ke kedudukan aku sekarang. Walaupun ketika hidup, ayah aku tak banyak cakap sangat, tapi aku tahu aku ada ayah. Sekarang ni, dah tak de suaranya. Aku dah tak de ayah lagi..

Banyak jasa ayah pada aku dan banyak jasa ayah pada orang lain. Hati aku tersentuh bila ayah ceritakan dia meminjam duit orang lain untuk membayar kos pelajaran anak-anak, betapa susah nak dapatkan penjamin untuk borang perjanjian universiti, rakan dan lawan sepanjang hidupnya. Nama-nama seperti arwah Cikgu Mohd Noor, Bala, Ah Kau, Ng, Lim, Cikgu Mawi, Pakcik Roslan adalah mereka yang dikenang budinya oleh ayah.

Selepas hari pertama aku menghantar ayah ke pusara Bukit Alif, aku kembali pada pagi hari keempat untuk melihat ayah. Daun-daun pandan dan bunga yang ditabur atas pusara telah kering. Liang kosong sebelah ayah dipenuhi air. Kebetulan pagi itu ada jenazah sampai, seorang lelaki 80 tahun. Tukang gali menyedut air dan menyemadikan jenazah tersebut disebelah ayah. Ayah, sekarang ayah dah ada kawan baru.

Ayah, aku doakan ayah berada bersama orang yang beriman dan beramal soleh. Diterangi kubur ayah dan diluaskan kubur ayah serta berbau wangi seperti syurga firdausi.

No comments: