Saturday, February 26, 2011

CCRIS

Assalamualaikum dan salam perpaduan,

Hari tu aku pergi RHB easy. Nak tambah pinjaman pelaburan ASB isteri aku. Tak banyak pun, RM50,000 je. Jadi jumpa le salesman dia. Bayaran bulanan cuma RM255 sebulan tambah RM15 untuk MRTA selama 5 tahun, lepas tu RM4XX. Menariknya, kelulusannya serta merta. Tak yah nak tunggu 2 minggu, sebulan.

Jadi, lepas periksa cip dan ibu jari, dia pun klik-klik apa yang patut. Masuk umur, jumlah pinjaman, jangkamasa pinjaman, cek CTOS, akhirnya cek CCRIS. Keputusannya: DISAPRROVE sebab sangkut CCRIS.

Salesman tu kata kena pergi bank negara tingkat 3, kalau nak semak. Aku pun pelik sebab isteri aku tak bekerja. Loan dia satu je RHB easy, payment OK je tak de sangkut. Mula le fikir macam-macam. Jadi apa-apa hal pun kena pergi Bank Negara.

Aku dengan isteri pun pergi Bank Negara, sebelah Hong Kong Bank dengan Bukit Timbalan. naik tingkat 3. Jumpa pegawai tu dia pun print CCRIS. Aku pun terpinga-pinga baca jadual tu.

Apa yang ada dalam senarai CCRIS?
1. Senarai pinjaman; peribadi, bersama dan lain-lain
2. Senarai bank yang dipinjam
3. Jumlah pinjaman
4. Bayaran bulanan
5. Kedudukan bayaran 12 bulan terakhir

Tiba-tiba ada pegawai panggil masuk bilik perbincangan.
Dia tanya beberapa soalan:
- ada jamin orang beli motor?
- ada jamin orang beli barangan SINGER?
- ada jamin orang beli barangan COURT MAMMOTH?

Aku jawab le TAK DE, aku tanya balik kenapa?
Dia kata syarikat ni boleh sebabkan kita sangkut CCRIS kerana penjamin akan turut dimasukkan nama sebagai peminjam. Maknanya macam buat akaun bersama.
Kalau peminjam tak bayar, kita pun macam tak bayar, kira bank sangkut le. Jahatnya!

Dia pun terangkan,
Ni ada 2 bulan tak bayar Public Bank!
Rupanya pinjaman tu akaun bersama aku dengan isteri aku. Masa tu aku kena guna nama dia sebab keluar KWSP dia beli rumah. Jadi kalau aku sangkut bayar, akaun isteri aku pun sangkut sekali. Katanya kalau bayar habis pun, 15 Mac baru CCRIS tu clear.

Aku pun kata, takkan dua bulan, selalunya aku bayar tiap bulan. Lagipun bank kalau call kata bayar RM2XX, RM3XX je. Takkan sangkut? Dia suruh aku semak dengan Public Bank. Aku agak-agak kalau sebulan RM640, dua bulan RM1280!

Aku pun call Public Bank, dia kata balance aku cuma RM312 je untuk Januari, Februari due pada 1 Mac. Maknanya tak de le 2 bulan. Teruk betul bank ni, kurang setengah bulan, tulis 2 bulan.

Ini le kelemahan sistem. Kerajaan kata pinjaman tak perlu cek CTOS / CCRIS. Tapi Bank Negara masih mengeluarkan senarai CTOS / CCRIS. Siapa jadi mangsa? Aku le, AKU LELAKI

SOLAT JUMAAT

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Dah beberapa kali aku solat Jumaat kat UTHM ni sejak kelas bertukar hari Jumaat. Ada beberapa perkara yang menarik perhatian aku. Maklum le UTHM ni ada ramai pelajar antarabangsa dan pelbagai budaya yang boleh dipelajari.

Sepanjang masa, aku perhatikan saf hadapan banyak dipenuhi dengan pelajar asing, terutama pelajar Timur Tengah dan mereka datang awal. Orang tempatan cuma ada 3-5 orang je. Jemaah ni datang awal dan meluangkan masa membaca Al Quran sementara menanti azan dzuhur. Mungkin budaya mereka sejak dari negara asal lagi. Sebelum dzuhur juga, ada bacaan Al Quran oleh qari melalui pembesar suara.

Jika ada peperiksaan, masjid ni jadi tempat perbincangan dalam kalangan mahasiswa UTHM. Mereka saling bantu-membantu rakan-rakan dalam memahami tajuk yang akan diuji nanti. Dari segi kebajikan, kadang-kala ada air manis sejuk (sirap/oren/ mangga) disediakan untuk jemaah. Kalau nasib baik, ada sumbangan nasi berlauk dari jemaah yang ingin bersedekah.

Di UTHM ni, qunut nazilah tidak dibacakan oleh imam seperti masjid lain di Johor. Aku tak pasti kenapa, mungkin kerana ke"antarabangsaan"nya. Menariknya di sini, selepas habis solat Jumaat, aku perhatikan jemaah antarabangsa ni akan berkumpul untuk beramah-mesra sesama mereka. Aku pun tak faham sangat apa diaorang cakap sebab masa tu diaorang guna bahasa ibunda mereka; Libya, Pakistan, Somalia, Mesir dan lain-lain.

Masa aku solat kat UPM, UTM pun suasana ni memang ada. Pelajar asing berkumpul sesama mereka. Pada masa ni le nak jumpa "orang kampung" dan berkongsi cerita dan pengalaman. Sama juga kalau rakyat kita berada di luar negara. Masa tu le nak ingatkan negara kita, jumpa kawan-kawan sebangsa dan seagama dan masa tu juga orang faham kalau kita cakap MELAYU. betul tak?

Thursday, February 10, 2011

BIO AURA

8.2.2011 aku terima payment bioaura RM800 dari ariffin. Isi dalam buku hutang. Baki 1560 lagi.

KERETA AYAH AKU

Assalamualaikum dalam salam perpaduan

Hari Ahad tu aku dah janji dengan ayah aku nak betulkan kereta dia pagi. Dalam pukul 10.00 pagi ibu aku telefon dah boleh ambil. Jadi aku, anak aku dengan ayah aku pergi kat kereta dan buka starter. Ayah aku kata dulu kat Kg Melayu, wayar starter tu pernah putus dan mekanik dah sambung. Aku memula sangka kedudukan starter kat bawah, nak kena jack. Rupanya starter tu kat atas. Senang le kerja aku. Tempat kerja memang sempit, kat celah-celah manifold. Sekali tu tangan aku masuk tak leh keluar. Sakit pinggang juga nak buka nat. Kalau ada rachet dengan extender senang gak buat kerja.

Lepas tu bawa sampel starter tu pergi kedai. Kedai ni hari Ahad buka separuh hari. Cina tu tanya kereta apa? Aku kata Iswara Aeroback. Dia pun keluarkan starter SAGA tapi bukaan lubang gear kecil dan panjang. Dia cari lagi, ada yang sama tapi Wira 1.6. Kereta dah modified le tu. Aku pun bayar RM125.

Balik kat kereta, aku pun pasang. Bateri memang flat le. Aku guna charger dan start, ada crank dan hidup. Alhamdulillah! Masa ikat skru tu, ada hos pecah lak. Hos ni kalau dah keras, dia akan retak bila nak masuk semula. Terpaksa le pergi kedai tu semula beli hos lak. Nasib baik kedai masih buka lagi. Bayar lagi RM30. Sampai rumah ayah aku, aku pun tukar hos tu.

Esoknya ayah aku kat rumah adik aku. Adik aku dah pergi kerja bawa kereta, jadi aku kena hantar ayah aku balik rumah dia. Dia tanya kenapa brek keras macam enjin tak hidup (servo le tu)? Aku pun pergi le rumah ayah aku, test. Memang brek dia keras. Aku ramp engin, lama-lama dia turun. Rupanya aku tukar hos masa enjin mati dan tak start semula. Sebab tu angin tak masuk servo. Lepas aku test run 2-3 kali baru servo berfungsi semula. Selesai kerja aku.

Bila fikir jadi perkara macam ni, aku memang galakkan anak aku masuk bidang automotif. Selain untuk kerja, boleh buat part time kalau dia sambung belajar kat mana-mana. Aku kata kat dia, ilmu ni ilmu buat duit. Modal pun kecil je, set spannar dengan playar je. Nak complete lagi beli le rachet, spark plug spannar, filter spannar dan ball bearing caliper.

TAHUN BARU CINA - TAHUN ARNAB2

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Hari Sabtu 5.2.2011 dah ada kedai sparepart yang buka. Abang aku dah beli tiket bas ke KL pukul 6.00 ptg kalau van tak hidup. Aku call dia tanya nak beli barang tak? Dia kata okey. Aku suruh dia beli bearing dengan gris. Dekat pukul 12.00 tgh baru buka tayar dia. Memang bearing pecah.

Aku pun buka nat, tarik disk brek keluar. Keluarkan bearing lama tapi ada satu bearing dah lekat/ jem. Ketuk tak nak keluar. Aku cakap dengan abang aku housing bearing ni buat kat bengkel, aku tak berani. Lagipun nak balik rumah aku ambil grinder. Sampai kedai dia kata kena press. Kedai tu tak de pulak mesin press. Nak press, kedai tutup lagi.

Macamana ni.. Aku kata kat abang aku pakai dulu housing tu, nanti balik KL buat semula sebab ada calar. Lepas amik grinder, aku grind sikit dan ketuk. Alhamdulillah besi tu keluar. Pasang bearing baru ni ada cara. Bearing tu kena 'masukkan gris' dulu. Ada caranya, dulu aku belajar dengan cikgu Azhar (Lepau) SMT Kota Tinggi. Lepas pasang, aku suruh abang aku test, OK! Dalam pukul 4.14 ptg baru siap.

Lepas ni kereta ayah aku pulak. Siapa lagi nak buat kalau bukan AKU. Akukan LELAKI

TAHUN BARU CINA - TAHUN ARNAB

Assalamualaikum dan salam perpaduan.

Memula aku nak ucap selamat tahun baru Cina pada rakan-rakan berbangsa Cina/ Tionghua. Tahun ni tahun ARNAB. Kebanyakan kedai Cina tutup dari Khamis hingga Isnin, ada yang lajak sampai Rabu depan.

Hari Rabu 2.2.2011 aku tukar bush lower arm van aku. Rumit gak kerja ni sebab kena buka, press dan pasang semula. Masalahnya bila buat bengkel biasa, alatan tak cukup terutama saiz bar yang nak tolak keluar masuk tu. Besi lama 'melekat' pula tu. Kena potong guna oksi-asetelina. Aku masuk pukul 11.00 pagi, keluar dekat maghrib. Lepas tu nak alignment pulak sebab rasa steering tu berat. Aku pergi BBU, dia kata steering rack aku rosak, dah nak tanggal, tak leh alignment. Sabtu tu aku ada jemputan kat Mersing tetapi kerosakan ni bukan boleh buat main.

Khamis malam 3.2.2011, ibu aku nak belanja semua anak-anak makan di ZZ corner, Jalan Petri sebelah JKR Daerah JB. Lagipun adik aku nak balik KL rumah mentua dia 12.30 tghmalam. Jadi abang aku akan bawa anak-anak dia, ibu dan ayah aku manakala aku bawa family aku. Sampai Bomba Larkin, bearing van abang aku rosak, abang aku patah balik ambik kereta ayah aku.

Lepas makan, semua akan ke rumah aku sementara menghantar adik aku ke Terminal Larkin. Adik aku dah jalan dulu. Tiba-tiba kereta ayah aku tak boleh start. Nasib baik aku belum jalan. Masa tu charger, jumper, spannar dan playar ada dalam van. Kereta ayah aku pun takde barang tu. Aku call adik aku minta dia ambil barang dalam van aku kat rumah dan patah balik.

Jumper tak boleh, charger pun tak boleh. Ayah aku suruh ambil bateri van lak. Dulu pun pernah rosak gak macam ni kat Kg Melayu. Tak boleh hidup. Aku pun balik rumah dan hantar ibu aku dulu. Abang aku dan ayah aku tinggal. Dah pasang bateri pun tak hidup juga. Ayah aku suruh tinggalkan je dan balik sebab nak hantar adik aku kat terminal Larkin.

Esoknya tahun baru cina, kedai memang tutup le. Aku jumpa kedai melayu yang buka tapi dia tanya aku "barang ada tak?". Kereta ayah aku tidur kat situ 2 hari.

Friday, February 4, 2011

KRITIK ARTIKEL

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Aku ingin berkongsi mengenai tugasan kritik artikel. Aku pernah buat masa Sarjana dulu. Memula tu dapat markah rendah. Pensyarah aku kata aku cuma buat ringkasan sahaja (summary) bukan kritik artikel. Lepas tu aku tengok member yang dapat markah tinggi dan aku buat semula dan hantar. Ada le perubahan.

APA YANG PERLU DALAM KRITIK ARTIKEL?

1. Kenalpasti kandungan artikel (Umum)
" Artikel ini menceritakan mengenai pengurusan kewangan..

2. Gunakan ayat penulis merujuk kepada pengarang artikel
" Penulis merujuk kepada penggunaan kad kredit dan cara berbelanja yang...
" Penulis mengajak pembaca menyelami isu..

3. Nyatakan laras artikel: ekonomi, teknologi, sosial
" Artikel ini menggunakan laras bahasa ekonomi seperti pendapatan, berbelanja...

4. Nyatakan kekuatan atrikel yang dibaca
" Kekuatan artikel ini ialah isu yang dikupas meliputi ..
" Terdapat beberapa kekuatan artikel ini seperti..


5. Nyatakan kelemahan artikel
" Kekurangan artikel ini dapat dilihat dari segi sasaran pembaca...

6. Kaitkan dengan pembacaan dari artikel lain mengenai tajuk yang sama
" (dari pengalaman atau pembacaan lain)

7. Cadangan
" Artikel ini lebih kuat jika penulis dapat menyelitkan data-data sokongan seperti perangkaan dari Bank Negara..
(dari pengalaman atau pembacaan lain. Masukkan dalam rujukan)


CONTOH KRITIK ARTIKEL

Artikel ini menceritakan mengenai globalisasi. Penulis memulakannya dengan idea globalisasi yang dimulakan dari Marshall Mc Muhan (1964). Seterusnya penulis menjurus kepada globalisasi budaya dan evolusinya sehingga sekarang. Laras bahasa pelbagai seperti ekonomi dan sains sosial menjadi pilihan dalam penyampaian artikel ini.

Saya dapati kekuatan artikel ini ialah bagaimana penulis mengolah pelbagai isu dalam budaya iaitu isu tempatan dan isu antarabangsa. Isu antarabangsa yang dikenalpasti ialah serangan-serangan syarikat media dan perjanjian-perjanjian yang memaksa negara lain menerima budaya antarabangsa ini manakala isu tempatan ialah bagaimana negara-negara ini hendak mengekalkan budaya sedia ada dan menolak beberapa budaya dari luar. Ini disulitkan lagi apabila penyebaran media, ekonomi dan sosial yang berlaku tidak dapat dihalang kerana rakyat tempatan dapat mengakses siaran-siaran tersebut tanpa had. Contoh-contoh negara yang dapat mengekalkan identiti mereka seperti Jepun dan China dengan budaya tempatannya. Penulis juga menggunakan banyak rujukan ilmiah yang menyokong penulisannya. Penulis juga dapat menyediakan contoh-contoh nama dan syarikat multinasional yang dikenali seperti Bill Gates, Yahoo, Pepsi, Mc Donalds supaya penulisannya tidak janggal dan berkesan

Kelemahan artikel ini ialah ia sepatutnya diterjemah dalam Bahasa Malaysia supaya penyampaiannya dapat difahami. Ayat seperti kondisi, meme, kontaminasi perlu disertakan dengan glossari supaya maknanya jelas dan bukan diteka-teka oleh pembaca. Selain itu data-data empirikal juga tidak disertakan untuk menyokong artikel ini. Secara keseluruhan, artikel sesuai dibaca oleh pelajar dan pendidik kerana ia dipenuhi dengan informasi dan rujukan ilmiah.