Monday, March 29, 2010

PILIHANRAYA MCA

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Tajuk ni bukan nak cerita atau komen siapa menang atau kalah. Perwakilan dah buat keputusan. Isu yang menarik perhatian aku ialah apabila aku mendengar radio mengenai temuramah dengan pemimpin-pemimpin baru parti tersebut.

Aku puji bila mendengar pemimpin MCA berbahasa Melayu apabila ditemuramah. Cakap mereka tu langsung tak de pelat cina. Kalau dulu, cuma cina belah utara je cakap Melayu kurang pelatnya. Ini menunjukkan mereka cukup menjaga imej dengan memperkaya bahasa Melayu. Mereka sedar pengundi mereka dan rakan parti kebanyakannya Melayu. Kalau diselitkan bahasa Inggeris pun setakat minimum sahaja.

Ini membuktikan kaum cina lain di Malaysia boleh bertutur dengan baik tanpa gaya dan pelat yang biasa kita dengar. Kita dah lama merdeka, Tahniah kepada yang menang.

KUALA LUMPUR 28 Mac – Bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek memenangi jawatan Presiden parti dengan majoriti tipis 68 undi, mengetepikan bekas pemimpin nombor satu, Tan Sri Ong Ka Ting dan penyandang jawatan, Datuk Seri Ong Tee Keat dalam pemilihan parti di sini hari ini.

Soi Lek, 62, memperoleh 901 undi berbanding Ka Ting meraih 833 undi manakala Tee Keat di tempat tercorot dengan 578 undi.

Speaker, Datuk Yip Phooi Hong mengumumkan keputusan tersebut kira-kira pukul 6.45 petang yang disusuli sorakan bergema penyokong Soi Lek.

Dengan keputusan tersebut, Soi Lek mempunyai tugas berat dalam usaha menyatukan semula kepimpinan MCA selepas parti berkenaan melalui fasa krisis kepimpinan sejak dua tahun lalu.

Malah pemilihan Soi Lek itu turut memberi satu mesej jelas bahawa kepimpinannya diperlukan untuk mengembalikan semula kepercayaan ahli-ahli parti serta masyarakat Cina keseluruhannya kepada MCA.

Walaupun kemenangan Soi Lek sudah diduga tetapi agak memeranjatkan apabila jumlah undi yang diperoleh Tee Keat paling sedikit dan jurangnya agak jauh berbanding dua calon lain memandangkan beliau merupakan penyandang jawatan.

Semua yang terpilih hari ini akan memegang jawatan sehingga Oktober 2011.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menang tipis apabila majoriti yang diperolehnya hanya 65 undi sahaja.

Tiong Lai berjaya memperoleh 1,171 manakala lawannya Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan bekas Naib Presiden memperoleh 1,106 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, perwakilan telah memilih Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen, Datuk Donald Lim Siang Chai; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung dan Ahli Jawatankuasa Pusat (CC), Gan Ping Sieu.

Bagi perebutan 25 jawatan dalam CC, Timbalan Menteri Luar, Datuk Lee Chee Leong mendapat undi paling tinggi.

Seramai 86 calon bertanding dengan jumlah perwakilan yang membuang undi hari ini mencatat angka paling tinggi iaitu 2,315 orang. Tiga perwakilan tidak mengambil kertas undi sebaik sahaja proses pemilihan diadakan.

No comments: