Wednesday, August 13, 2008

AYAM OH AYAM..

Semalam aku pergi pasar borong Pandan, JB. Memang biasa le berbelanja kat situ sebab dia buka dari 5.30 ptg sampai 12.30 mlm. Senang pergi pasar waktu malam ni. Tak de kopun parking, kurang sesak, lepas masa pejabat dan masa sekolah, boleh berjalan bersama keluarga.

Aku pun gi le stall ayam proses yang aku selalu beli. Terperanjat aku tengok harganya. Dari biasanya bawah RM7.00 dah melepasi sehingga RM7.30 sekilo.








Macamana ni??

Kementerian Hal Ehwal Pengguna pun nampaknya buat tak reti je. Dah le harga petrol naik (terasa juga le), harga barang makanan pun naik melampau. Nampaknya rantaian harga dah berlaku.
Rantaian harga bermaksud apabila harga minyak/petrol naik, harga perkhidmatan (lori/ upah) naik, harga barang naik dan pengguna terima bebannya (berbelanja lebih).

Petikan Utusan Malaysia
ARKIB : 21/03/2008

Dunia rasai kenaikan harga barang keperluan
Oleh Mowardi Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)


UMUM kini merasai harga barang makanan menjadi semakin mahal. Keperitan membayarnya, bukan lagi isu yang terpencil tetapi membesar menjadi masalah sejagat yang kian mendesak dan membimbangkan. Pada akhir-akhir ini, berita-berita yang menyorot permasalahan berkenaan harga barangan mulai giat terpampang di dada akhbar, sekali gus bakal memperlihatkan wajah buruk seterusnya. Kalau sebelum ini, kelaparan dan kebuluran dilihat tertumpu kepada benua Afrika, tetapi masa telah berubah – ia menyelinap ke negara-negara sedang membangun, malah negara maju juga tidak terkecuali.

Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Program Makanan Dunia (WFP) sendiri mengakui bilangan negara yang penduduknya mengalami kelaparan dan ketiadaan makanan dijangka bertambah termasuk Indonesia, Yemen dan juga Mexico. Senario ini dilihat akan menjadi lebih ketara dengan berlakunya kenaikan harga bahan mentah, kekurangan bekalan, meningkatnya harga minyak mentah dunia dan perubahan iklim. Kesemua faktor berkenaan saling berkait dan memberikan kesan secara langsung ataupun sebaliknya.
Keadaan cuaca dunia yang tidak menentu menjejaskan hasil tanaman sekali gus mengurangkan keupayaan pengeluaran sedangkan permintaan terus meningkat dari semasa ke semasa. Keadaan ini diburukkan pula oleh kenaikan harga minyak kerana ia menjadi kos lebih mahal dalam rantaian makanan daripada penanaman hinggalah pengedaran.

Peningkatan harga minyak mentah telah memberikan kesan yang signifikan dalam masyarakat sejagat sejak komoditi emas hitam itu meningkat harganya mencecah paras AS$80 setong pada tahun lalu sebelum kini kekal berada di atas paras AS$100 setong. Pada harganya yang mahal, kehidupan menjadi lebih getir dan masalah kelaparan kian ketara.

Peningkatan tinggi harga minyak akan menyukarkan sesetengah negara dunia menanggung subsidi yang sedia diberikan kepada rakyatnya kerana lebih tinggi harga minyak mentah, lebih banyak wang yang terpaksa dibayar untuk menampungnya.

Berdasarkan hakikat itu, peningkatan harga minyak bakal terus menjejaskan kehidupan harian penduduk dunia. Malah, terdapat negara yang telah meningkatkan harga bahan api berkenaan. Sungguhpun begitu, tindakan berkenaan telah menyebabkan Pakistan kehilangan dana yang diperlukan untuk memajukan negara dan bakal menyukarkan kerajaan baru untuk mentadbir negara kerana kantung wangnya semakin menunjukkan tanda defisit di samping kadar inflasi yang tinggi.

Kadar inflasi tahunan Singapura meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 25 tahun kepada 6.6 peratus dalam bulan Januari terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga makanan sebanyak 5.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Lebih menakutkan, penilaian telah dibuat ke atas 30 buah negara yang bakal dilanda krisis bekalan makanan akibat keadaan cuaca buruk hingga menyebabkan meningkatnya permintaan untuk mengisi mulut-mulut yang kelaparan. Sekiranya perkara ini berterusan, dunia akan menyaksikan lebih ramai penduduk yang bakal kelaparan, lebih teruk lagi kebuluran kerana barang makanan yang mahal dan mampu dimiliki oleh mereka yang benar-benar berkemampuan sahaja.

Diedit dari sunber asal: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm

No comments: