Wednesday, July 14, 2010

Kaedah Penyelidikan

Bab 1: Apakah itu Penyelidikan dalam Pendidikan?

Dalam suatu kenyataan akhbar, disiarkan bahawa "Ramai pelajar tingkatan satu tidak boleh membaca dengan berkesan". Berikutan kenyataan itu, ratusan surat diterima daripada orang ramai memberi pelbagai pendapat mengapa keadaan ini wujud. Antara pendapat yang dikemukakan ialah:

  • kaedah mengajar bacaan di sekolah rendah tidak berkesan,
  • saiz kelas yang terlalu besar,
  • guru tidak mengadakan kelas pemulihan,
  • tidak cukup guru bahasa yang berkelayakan,
  • latihan guru yang ketinggalan zaman,
  • pelajar yang tidak minat,
  • tidak cukup kemudahan mengajar bahasa dan seterusnya.

Semua ini merupakan pendapat yang munasabah tetapi mana satu yang boleh diterima?.

Untuk menjawab pertanyaan ini, penyelidikan perlu dijalankan untuk menentukan mengapa begitu ramai pelajar tingkatan satu tidak boleh membaca dengan berkesan.

Di akhir Bab ini anda akan dapat:

  • memberi definisi penyelidikan
  • menerangkan langkah-langkah penyiasatan saintifik
  • menjelaskan ciri-ciri pernyataan masalah
  • menggubal soalan penyelidikan yang baik

Definisi Penyelidikan

Menurut, The Collins International Dictionary penyelidikan ialah suatu penyiasatan sistematik untuk memperolehi fakta atau maklumat tentang sesuatu perkara.
Kamus Webster pula menyifatkan penyelidikan sebagai penyiasatan saintifik untuk membongkar fakta.
Apakah yang dimaksudkan dengan penyiasatan saintifik?.

Penyiasatan saintifik merupakan kaedah dan cara berfikir sistematik, terkawal, dan empirikal yang bertujuan mengkaji hubung kaitan antara fenomena semulajadi yang boleh diperhatikan (Kerlinger, 1973).

Tiga perkataan penting dalam definisi ini ialah

  • sistematik,
  • terkawal,
  • empirikal.

Penyelidikan saintifik yang sistematik dan terkawal dapat menghasilkan penemuan atau dapatan yang lebih meyakinkan. Penyiasatan saintifik empirikal bermakna kajian yang dirancangkan boleh diuji dalam makmal atau luar makmal dan terbuka untuk diteliti orang lain. Ahli falsafah pendidikan terkenal, John Dewey dalam bukunya How We Think mencadangkan pada tahun 1933 bahawa penyiasatan saintifk adalah suatu proses yang terdiri daripada langkah-langkah berikut:

Langkah-Langkah Penyiasatan Saintifik

1. Mengenal pasti Masalah dan menggubal Soalan Kajian atau Hipotesis
2. Mereka bentuk Kajian untuk menjawab soalan Kajian atau menguji hipotesis

3. Mengumpul dan Menganalisis Data

4. Menjawab Soalan Kajian - menerima/menolak hipotesis

Sumber diubahsuai daripada http://peoplelearn.homestead.com/Penyelidikan/Bab1Apa.html


No comments: