Saturday, May 30, 2009

BIG 2 - AKTIVITI AIR

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Semalam aku dah terbakar sangat dengan kembara darat. Buat aku macam kuli batak. Hari ni aku nekad. Aku nak masuk air. Aku jumpa ketua jurulatih, alasan aku ada 5 orang fasilitator ikut kembara darat dan membantu jurulatih air yang berseorangan. Dia pun setuju.

Aku pun siapkan pakaian air aku, selipar ngan baju. Hari ini ramai pulak jurulatih air perempuan. Aku suruh le fasilitator KRS perempuan tu ikut kembara darat sebab seorang je yang pergi, dia tak nak. Jadi dalam air ada 2 fasilitator lelaki dan 4 fasilitator perempuan. Ustaz memula azam nak join air tapi tak nampak hidung.

Setelah memanaskan badan dan taklimat, aku ngan peserta pun masuk air. Ombak punyalah besar tapi aku tengok Manap steady je. Peserta lelaki dah mula aktiviti tetapi peserta perempuan takut nak masuk jauh. Antara sebab mereka takut ialah peserta perempuan ni banyak yang pendek. Aktiviti sedikit terganggu apabila peserta ditimbus ngan ombak yang tinggi. Ramai terminum air dan kurang yakin. Apabila Manap datang ke kumpulan perempuan, barulah aktiviti water-confident berjalan lancar. Aku hanya membantu apa yang patut.

Tengahari ialah aktiviti berenang dalam jarak 100-150 meter. Peserta dijatuhkan pada satu poin di tengah laut dan mereka akan berenang ke tepi. Aku tak pernah buat aktiviti ini. Dulu aku buat river-crossing je. Seberang sungai menggunakan tali yang diikat pada 2 tebing. Tapi aku puji semangat peserta ni. Mereka boleh buat dan tiada insiden yang tidak dikehendaki berlaku. Semuanya selamat sampai ke pantai. Alhamdulillah.

BIG 1 - KEMBARA DARAT

Assalamulaikum dan salam perpaduan

Pada 25-28 Mei lepas aku terlibat sebagai fasilitator BIG. Kali ni tempat baru di Pesona Indah, Tanjung Resang. Nama aku asal dalam Jurulatih Air tetapi bila aku sampai aku Ketua Jurulatih suruh aku pergi kembara. Alasannya biar penat sama rata (tak pernah dibuat orang). Hari ni air, besok darat. Lagipun katanya ada anak panah "alternate" (pergi - balik) dalam jadual. Aku pun rujuk le. Memang ada, jadi tak boleh lawan. Rasional aku kalau jurulatih air dan darat, pakaiannya tak sama. Kena sediakan dua set pakaian dan dua set kasut. Darat dan air. Menyusahkan. Katanya dua nama kat bawah tu bukannya jurulatih tapi pembantu jurulatih. Ni yang aku marah, tak pulak tulis 'pembantu' dalam jadual. Mereka dah undergrade aku.

Dalam kembara ni, terdapat seorang orang tempatan yang menjadi juru pandu kami, En Zol. Sepanjang kembara ni kami belajar mengenai pokok-pokok hutan yang boleh menjadi penawar penyakit dan ulam-ulaman. Terdapat pokok gelenggang, kemunting, senduduk, gajus dan banyak lagi. Trek kembara ni menuju ke Air Terjun Gunung Arong yang menganjur menghala ke Pahang. Di sini kami berhenti untuk memasak sebelum bertolak balik ke chalet. Aku sempat mandi di air terjun ni, lepaskan gian.

Dalam 100m sebelum sampai ke chalet, ada aktiviti usungan perlu dilakukan peserta. Teruk juga le kerana peserta lelaki hanya 4-5 orang dalam satu kumpulan. Peserta perempuan hanya mengiring sahaja. Sepatutnya kena buat strecher alih ganti tapi peserta lupa mengambil kayu dan membawa kain. Siapa bagi taklimat sampai silap macam ni?

Aku tak puas hati kembara kali ni. Persoalannya:
1. Apa ke jadahnya letak sampai 6 fasilitator lelaki mengikuti kembara darat tetapi seorang je fasilitator lelaki dalam aktiviti air?
Bahagilah sama rata. Ini soal keselamatan pelajar. Ini tidak, keputusan dibuat berdasarkan menyenangkan kroni sahaja. Buktinya, mula-mula 3 fasilitator lelaki berjalan sampai air terjun, lepas tu semua fasilitator lelaki naik kereta tinggalkan aku dengan jurupandu yang berjalan sampai ke chalet. Aku tengah jalan penat-penat, mereka sedap-sedap makan kat chalet.

2. Apa tindakan ketua jurulatih kepada fasilitator yang tinggalkan pelajar?
Kalau Pn Zaiton jadi ketua jurulatih dulu dah tentu kena marah mereka semua. Mereka yang tinggalkan pelajar tidak memikirkan tanggungjawab sebagai fasilitator tapi kesenangan dan kerja sambil lewa sahaja.

Thursday, May 21, 2009

PTK 2

Assalamualaikum dan salam perpaduan.

Sebelum aku ambil keputusan aku, aku pergi sarapan ngan kekawan. Timbul le cerita En Yusuf lulus PTK dapat 4:4. Wah! tentu dapat anjakan gaji dan boleh naik DG48. Tapi yang tak sedapnya bila ada statement, dia lulus 4:4 kerana kouta tua.

Aku akui le PTK ni ada kouta. Sebab anjakan gaji memakan belanja kerajaan yang besar. Tapi bila kata kouta tua tu aku tak setuju sangat. Aku kenal En Yusuf ni. Dia bekas Nazir sekolah. Sudah tentu banyak pekeliling, akta dan Arahan Perkhidmatan yang telah dibacanya. Walaupun dia baru berkhidmat di IPG ni, pengetahuan lepas dia sangat luas. Pengetahuan inilah yang menjadi asas dia lulus PTK tersebut. Kalau nak harap P&P je, memang tak lulus le.

Aku adalah orang yang lulus kali pertama PTK diperkenalkan dan mengambil kertas kompetensi pensyarah maktab dan kolej matrikulasi. Ketua unit aku yang dah 16 tahun jadi pensyarah tapi tak lulus tanya macamana aku boleh lulus kertas pensyarah sedangkan baru 6 bulan berkhidmat sebagai pensyarah?

Inilah mentaliti pensyarah di tempat aku, lagi lama di IPG lagi pandai. Jawapannya senang je. Mereka yang tak lulus ni memang tahu pensyarah ni dalam kategori Pengurusan dan Professional tetapi tak faham maksud Pengurusan dan Professional?

Pengurusan dan Profesional bukan setakat mengajar je tetapi kena ambil tahu kerja-kerja pengurusan. Fahami kerja betul-betul, jabatan terlibat, baca pekeliling dan ambil tahu berita semasa. Kalau jadi pensyarah hanya tau datang kerja 'punch' , masuk kelas - keluar kelas, lepas tu cukup masa 'punch' balik, cukup bulan ambil gaji, ambil le PTK tu 4-5 kali baru boleh lulus. Aku tak percaya le kuota tua ni. Dia lulus kerana ilmu dia cemerlang yang dia ada dan patut lulus.

Wednesday, May 20, 2009

PTK - antara gembira dan...

Assalamualaikum dan salam perpaduan.

Hari ini aku menerima ucapan tahniah dari ramai orang. Apa taknya, aku lulus PTK DG41 dengan keputusan umum : 4 dan khusus : 4. Kalau ikut prosedur biasa, aku dah lompat P3. Aku dah pernah dapat P2 dulu masa mula-mula PTK diperkenalkan dan aku lulus. Tapi keputusan ini tidak membawa makna kepada pergerakan gaji aku kerana aku dah menerima perlantikan DG44 aku yang berkuatkuasa pada 16.5.2008. Perkara ni aku dah agak masa aku nak ambil PTK ni dulu. Rujuk blog aku:

http://kelakian.blogspot.com/2009/03/peperiksaan-ptk.html

Jadi tak boleh reverse balik. Aku dah lulus pada tarikh selepas aku dah dapat DG44. PE aku kata kalau aku tolak DG44 pada 2008, perlantikan DG44 aku akan dibuat pada 2010 sebab aku terima pergerakan P3 pada 2009. Implikasinya ialah pemangkuan DG48 aku jadi lebih lambat dari rakan-rakan yang gred sama dengan aku.

Beza gaji? Sebenarnya aku terlepas satu increment. Sekarang ni aku kat P1T3 (RM 3283.55) kalau tak aku barada di P1T4 (RM 3433.83). Bezanya RM 150.28 (sebulan). Kawan aku kata ada hikmahnya dan sepatutnya aku bersyukur. Aku fikirkan balik, betul juga tu. Dah rezeki macam tu. Rezeki aku, aku lelaki.

Sunday, May 17, 2009

PROTON PERDANA VS HONDA ACCORD 2.4

Assalamualaikum dan salam perpaduan.

Pada 12.05.09 yang lalu aku ke Seremban. Jadi contact le kawan lama, Hanafi. Aku janji nak jumpa kat Terminal One, Seremban. Sampai je dia call. Aku pun jumpa dia tapi tak sangka dah tukar kereta. Dulu guna proton Perdana sekarang guna Honda Accord 2.4iVtec

Aku pun sembang-sembang le, kenapa tukar kereta?
Jawapan dia memberi aku satu view baru mengenai kereta berkuasa besar. Dia siap cerita sejarah tuan lama kereta ni.

1. Maintainance Proton Perdana tinggi dan kerap rosak.
(sebab tu kerajaan terengganu tak sanggup nak pakai Proton Perdana)
2. Minyak Honda Accord ni save.
RPM 400 boleh jejak 120 kmh.
Kereta biasa RPM 3000 baru jejak 120 kmh.
Masa dia pandu tu aku akui kebenaran kata-katanya.
3. Kelasakan yang ada pada Honda Accord
4. Sit yang dilaras dengan motor; ke depan / belakang, adjust tegak / condong.

Aku agak teknologi Honda yang buat dia jimat minyak. Baru-baru ni aku tumpang En Latiff ke Gurun, Kedah naik Honda City 1.5. Minyak dia baru RM 150.00 untuk perjalanan satu hala. Mahal tol dari minyak!

Tapi bila kawan aku ni kata:
"lain kali kalau aku nak tukar kereta, aku nak cari yang 3000 cc ke atas pulak",
aku rasa bukan kereta yang problem tapi dia yang kena overhaul. Ha ha ha.

BLOG BERDUIT

Assalamualaikum dan salam perpaduan.

Hari ni aku baru balik dari Yong Peng. Aku jumpa seorang blogger yang menjana pendapatan dari BLOGSTARZ. Dia ajak aku join dan kempen le kebaikannya. Ada 5 faedah (duit) yang boleh didapati dari BLOGSTARZ ni.

- adshare
- promosi produk / perkhidmatan/ kepakaran sendiri
- IOD (Information on Demand)
- Perlantikan blogger-blogger baru
- pairing dan flushing

Sebenarnya aku berminat nak tau sms percuma, IOD dan blog yang boleh menjana pendapatan. Terdapat beberapa plan serendah RM99, RM297 dan seterusnya. Ada beberapa perbandingan yang aku nak tuliskan bila BLOGSTARZ vs blogger

BLOGSTARZ memberikan 1 blog sahaja (satu domain/nama) untuk semua blog yang ada. Maknanya aku kena buat semua blog yang aku ada ke dalam satu blog (macam archive le!). Semua orang boleh tengok dan rayau blog aku yang lain. Ini sedikit sebanyak mengganggu privasi aku. Selama ni aku asingkan blog bisness, blog keluarga dan blog akademik. Takut juga student kata amik kesempatan mengajar sambil berniaga. Kemudian dia macam halaman-halaman berterusan. Kalau aku nak tambah nota camne? Aku ngajar banyak subjek!

Tentang plan marketing, pair, flushing dan lain-lain aku dah mahir sejak masuk uptrend2u dulu. Mula-mula tu kagum le, lepas lebur RM2,XXX.XX aku pasrah le aku tak boleh dan tak pandai berniaga. Aku cerita bisness, propek cerita masalah dia. Masuk 4-5 kali, kawan tengok kita pun lari.

Aku nak cuba gak BLOGSTARZ ni sebab boleh memperkembang bakat dan bisness aku sambil buat duit. bayarannya pun sekali seumur hidup. Jadi kenapa tak cuba, aku kena cuba, aku lelaki

PENGURUSAN PEPERIKSAAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Aku mempunyai pengalaman menjadi panel peperiksaan SPM yang dikendalikan oleh badan yang bertauliah. Pengendaliannya amat sistematik dan kemas. Ada beberapa sistem yang boleh dibuat contoh oleh UPP BPG. Antaranya ialah:
- menyediakan satu bilik untuk satu kertas/ mata pelajaran yang dibuat.
- persediaan peralatan dan bahan seperti komputer, printer, kertas disediakan oleh vendor yang dilantik.
- Ahli panel tidak dibenarkan membawa note book, pen drive dan telefon ke dalam bilik mesyuarat.
- Bilangan panel untuk sesuatu kertas pulak tidak kurang dari 8 orang.
- Tiada istilah menyiapkan kerja di dalam bilik sampai lewat malam/awal pagi.
- Hanya pegawai sahaja menyimpan softcopy dan hardcopy. Panel balik dengan tangan kosong.
- Data dalam komputer akan dikosongkan selepas tamat mesyuarat (zero fill).

Kebaikan sistem ini ialah kerahsiaan item yang dibina sangat tinggi. Sepatutnya sistem ini boleh digunapakai pada UPP BPG. Tapi aku tak tau kenapa mereka tidak mencontohi sistem ini. Sekiranya vendor dapat membekalkan peralatan ini untuk setiap mata pelajaran, tidak berlaku perebutan printer dan komputer. Selain itu memindahkan data dari note book ke note book lain mengundang virus yang tak diundang. Bab virus ini yang menjahanamkan note book aku dulu. Note book sekarang ni, aku beli lain dengan duit sendiri bukannya IPG punye.

Jadi apa masalahnya? Duit? Ini melibatkan kerahsiaan dan integriti peperiksaan. Kalau BIG, Pendidikan Luar, Perkhemahan Badan Beruniform boleh diperuntukkan perbelanjaan yang besar, kenapa peperiksaan tidak? Ubahlah, jangan ikut cara nenek-moyang terdahulu, pikul dan bawa printer, kertas dan shredder dalam kereta. Pengurusan berubah, nama institusi berubah, kerja masih ditahap lama. Entahlah, aku pun tak de jawapannya.

Thursday, May 14, 2009

SELESA RESORT HOTEL

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Minggu ni aku kena mesyuarat moderasi di Selesa Beach Resort, Port Dickson. Apa tugasnya, serahsia misi anggota tentera kor perubatan yang berkampung sama kat sini. Bilik aku 250. Resort ni selesa dengan bath tub yang besar, ada gymnasium, kolam renang dan tepi pantai dan teluk buatan rasa aku. Waktu menulis lagu ni aku layan feeling lagu Richard Marx, Right Here Waiting.

Tugas aku kali ni amat mencabar tetapi kerana sangat mencabar aku jadi bosan. Aku hilang seronok kerja kat sini atas beberapa sebab (cari sebab le nak salahkan orang lain). Sebenarnya salah aku juga. Aku terlalu tension. Walaupun rakan-rakan tahu aku ni begini-begitu tapi kali ni aku macam kena kejutan budaya.

Pertamanya, aku malu dan kecewa kat diri sendiri dan IPGM aku. Kenapa?
40% hasilkerja aku ditolak. Langsung tak dipertimbangkan. Patut le UPP marah aku bulan April lalu bila aku tak ke Bandar Tenggara untuk moderasi. JPU yang diberi kat aku salah. Bagi SOLO tapi nak guna BLOOM, maka hasilkerja aku salah, aras salah, format pun salah. Frust aku. Dah le 4 IPGM terlibat, tolak satu ada le 3. Dalam 3 ni pun macam ada yang tak baca JSU.

Dah lah buat dua set kerja, member sorang lagi tak datang, Bila call katanya tak dapat surat. Macamana diaorang (orang atas) buat kerja? Dah terkonteng-konteng kita orang siapkan kerja. 'Handicap' le kata orang tu. Sepatutnya kerja ni cuma pilih dari yang dah siap, tapi nampaknya dah jadi lain. Hasilnya aku tak dapat siapkan kerja aku. Nasib baik Zulkafli dari IPGMKTO tolong selesaikan. Kagum aku kat dia ni. Relax dan tenang, siap boleh pergi urut traditional kat seremban lagi petang tu.

Satu lagi, kerja ni kejar masa, jadi ada 'time constrain'. Pengurusan masa sangat berharga. Hari ni pun ada member yang pukul 12.oo tgh malam pun masih mencetak lagi. Esok, Jumaat sampai separuh hari je. Tapi kerja aku dah siap, dah semak. Tinggal paper work je. Kebanyakan kawan yang aku jumpa, berasap kepala nak siapkan.

Satu lagi, bila nak minta hardcopy tu, urusetia sediakanlah komputer dan printer secukupnya. Ini bawa 1 note book dan 3 printer, tak sampai malam, satu toner habis , tinggal dua printer. Nak print bukan sikit. Kemudian kalau silap satu helai, kena beratur semula. Member bila nak selit satu helai, kena buat tak malu atau tunggu sampai 'last man printed'. Satu lagi sikap, urusetia dah umum jangan edit kat note book yang dikhaskan untuk print, tapi ada yang degil juga. Orang lain kena le tunggu. Note book pun tak tau berapa banyak virus dia ternak. Ada pen drive tak boleh baca, kena shut down noteboook dulu, macam-macam. Nak suruh burn kat CD tapi note book urusetia tak boleh burn CD. Aku pun pelik. Semua jadi kelam-kabut dan 'intense the heat'.

Habis kerja aku fikir nak balik dan tinggalkan Port Dickson ni. Tempat cantik tapi suasana kerja tak seindah namanya SELESA beach resort.

INSIDEN BAS

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Aku balik dari citrus tempohari menaiki bas. Transnasional 2 tingkat. Tiket RM31.00 je. Bas transnasional ni ada beberapa kebaikannya iaitu tambang ikut harga yang dikeluarkan LPKP dan jalan mengikut masa yang ditetapkan. Tapi aku tak minat naik transnasional ni sebab saiz aku besar dan kerusi dia kecik dan ruang kaki sempit. Biasanya 40 sit satu bas. Kalau jalan jauh, boleh cramp kaki aku.

Kalau beli dengan ulat pulak, kena tunggu bas penuh. Janji sekarang jalan ke, pukul 11.00 jalan ke, selagi tak penuh kena tunggu le. Harga ikut suka hati ulat dan mood, boleh jejak RM45-65. Tapi satu kebaikannya, kerusi besar, selesa dan ruang kaki besar. Satu bas tu 27 sit je

Itu cerita tiket dan bas. Ini cerita penumpang lak. Dalam bas tu ada satu keluarga, seorang mak dengan 3 orang anak. Seorang masih berdukung dan 2 lagi duduk di 2 sit di belakang maknya. Mungkin mak dia beli 4 tiket. Dia duduk memang tepi tangga atas. Aku risau juga kalau bas jalan, kanak-kanak tu boleh jatuh tangga nanti. Kanak-kanak tu rasa aku dalam umur 4-5 tahun. Dalam pada masa yang sama, aku tak nampak pulak suami dia. Nak jadi cerita, biasa le kanak-kanak. Abang pukul adik, adik pukul abang. Lepas tu si adik mengadu kat mak.

Kau nak tahu apa yang jadi? Aku tengok mak dia bangun, pergi belakang dan aku perasan macam dia tumbuk anak dia. Aku bersangka baik, mungkin dia cubit, nak ngajar anak. Lepas tu si abang pulak mengadu. Oleh kerana adik tu berada di kerusi luar, aku memang nampak jelas dia tumbuk anak dia kat muka. Astagfirullah! Kat muka, bukan badan. Bila bising lagi dia pergi ke belakang dan tumbuk suka hati dia. Aku pun duduk diam-diam dalam bas tu. Takut mak dia datang tumbuk aku pulak.

Aku jadi insaf tengok benda ni. Beberapa perkara bermain di fikiran aku.
Kenapa berlaku tindakan ganas pada kanak-kanak ni?
Apakah mak sekarang dah takde rasa belas kasihan kat anak sendiri ?
Bila bercakap dengan anak tak de lemah-lembut, kenapa perlu ugut, jerkah?

Adakah dia tak fikir susahnya melahirkan anak sendiri ni? Kanak-kanak ni perlu dibesarkan dengan kasih sayang dan didikan yang sihat. Mereka akan meneruskan generasi kita dan menjaga kita bila dah tua nanti. Insya Allah.

Aku nampak ada beberapa kesilapan mak dia dalam bas tu. Sepatutnya mak dia duduk dibelakang anak-anak dia. Baru dia nampak siapa salah. Ni dia bangun terus tumbuk, tak kira siapa salah. Salah buat perhitungan. Nanti kalau pekak, buta , gegar otak, rosak mata, tengkorak pecah? Masa depan kanak-kanak tu gelap, dan beban pada mak dia juga.

Aku harap pada yang ada anak kecil tu bersabar le. kekadang tindakan memukul anak ni, silap gaya menyesal kemudian hari nanti.

Monday, May 11, 2009

BINA INSAN GURU

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Pada 22 - 25 Mac 2009, aku terpilih menjadi pensyarah pengiring BIG untuk kumpulan KDC Pengajian Cina dan Pengajian Tamil. Banyak juga aktiviti yang dirancang sepanjang aktiviti dan pelajar ini akan dinilai oleh tutor masing-masing.

Bila aku buat kerja ni, teringat aku masa belajar dulu. Masa tu aktiviti ini dinamakan Kursus Latihan Membina Semangat. Aku kena kat MPI, Bangi manakala latihan air di pantai Port Dickson. Masa tu tak belajar floating, terus naik kayak, kayuh ke pulau dan balik ke khemah je. Selain itu ada solo camping, kawad kaki dan lain-lain lagi.

persediaan memasak

Sepanjang BIG ni, perkara yang menjadi topik hangat ialah masakan. Pelajar India suka kari dan cili manakala pelajar Cina suka sup dan kurang pedas. Aku pun tak tau macamana diaorang selesaikan hal masakan ni.

memasang khemah

group floating

Aku senang bekerja dengan En Esa. Ada le berapa kali aku sebilik dengannya samada kursus atau seminar. Beliau berfikiran positif. Aku agak terperanjat le tengok penglibatan aktif dia dalam aktiviti air walaupun dia lebih berusia: sama-sama basah, sama-sama floating, sama-sama river crossing. Arus semasa menjalankan aktiviti air ni memang kuat. Oleh kerana aku ada basic berenang, boleh le aku berenang ke tepi. Kalau tak betul gaya boleh hanyut ke muara.

Ada 3 insiden kemalangan sepanjang BIG ini. Aku tak boleh lupa insiden pelajar jatuh bilik air dan koyak belakang keting kakinya. Sewaktu tu aku nak ke surau pergi solat maghrib. Oleh kerana darahnya banyak, aku tak boleh agak dalamnya koyak tu. Aku suruh dia basuh kakinya dulu sementara aku amik first aid box kat bilik aku. Setelah selesai dia membasuh kakinya, aku tengok koyaknya dalam dan panjang. Aku kata hantar klinik je, aku tak nak tanggung risiko. Tapi sebelum tu. aku letak ubat kuning pada luka dan kain kasa, kemudian aku buat ikatan 8 dengan bandage. Aku tak nak kereta member meleleh darah atas karpet. Kerja seterusnya ialah tugas En Hj Esa menghantarnya ke klinik berdekatan. Bila balik, pelajar tu kena 3 jahitan.

Sunday, May 10, 2009

CITRUS HOTEL 3 : ADIK ANGKATMU ANAK MURIDKU JUA

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Malam ni aku sambung lagi mesyuarat. Petang tadi member aku kata nak jumpa dan keluar dengan adik angkat dia. Tu yang aku gi beli beg sorang-sorang. Balik hotel je, aku nampak member aku lagi. Dia kata jalan jem, adik angkat dia on the way. Time pulak tu dekat pukul 7.00 so dia ajak aku dinner sekali. Aku menolak kerana baru sampai dan nak hantar beg ke atas, mandi dan solat maghrib dulu. Aku pun tertanya-tanya gak siapa adik angkat dia tu.

Malamnya aku nampak le member aku dengan adik angkat dia tengah bincang. So aku pun lalu kat tangga dan nampak marketing plan. Ini cerita bisness. Tengah aku nak naik je, member aku pandang atas. Tiba-tiba adik angkat dia tanya dia,
"Ini cikgu sekolah teknik, kan?"
"Iya le." member aku jawabkan untuk aku.
"Kau kenal tak dia, Li?" member aku tanya kat aku.
Aku angguk je sebab tak nak ganggu perbincangan mereka.

Aku rasa kecik betul dunia ni. Umur dia 24 tahun, maknanya SPM tahun 2003. Sewaktu tu aku mengajar di Sek Men Teknik Kota Tinggi dan bertukar ke tempat kerja sekarang. Itulah cikgu, selalu disapa dimana sahaja tempat berjumpa. Pertemuan ini memang tidak dirancang tetapi Allah yang menentukan. Sungguh aku tak sangka pertemuan adalah pertemuan:
ADIK ANGKATMU ITU RUPANYA ANAK MURIDKU JUA...

CITRUS HOTEL 2 : AHLAN WA SAHLAN YA HABIBI

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Petang ni aku beli beg, nak gantikan beg yang aku kopak semalam. Semalam member aku tanya beg sedondon (beg besar beroda dengan beg kecil sama color) kat gerai tu dia nak RM195.00. Aku tak beli yang tu, aku beli le dengan harga berpatutan. Malam ni aku plan nak pergi UPTOWN.

Malam tu, sorang member UPTOWN aku tarik diri, kaki sakit. Nasib baik ada sorang lagi bawa kereta. Alang-alang naik kereta, biar jalan jauh sikit. So dia bawa le ke Sungai Wang-Bukit Bintang. Walaupun sudah 10.20 mlm, suasana meriah. Ada pemuzik jalanan, pertunjukan ular dan monyet, live band dan cafe. Kos kehidupan memang tinggi. Makan 3 roti bakar dengan 2 air kelapa dan fresh orange jejak RM27.00. Lepas tu aku pergi refleksilogi RM25 untuk 30 minit tapi dia tambah 10 minit lagi.

Banyak kebaikan refleksologi ni. Dia menggunakan tapak kaki untuk menekan poin saraf pada keseluruhan badan. Istimewanya tempat ni ialah kerusinya besar dan selesa bukannya kerusi malas plastik. Sambil refleksologi tu aku berbual-bual le dengan tukang urut tu. Dia berasal dari Surabaya dan pernah mengurut di Bali. Suaminya beragama Hindu tetapi sudah masuk Islam.

Sebenarnya bila berkunjung ke sini pada waktu malam, suasana sekeliling seolah-olah berada di negara Arab. Ini disebabkan ramai pelancong Timur Tengah di sini. Konsep seperti tempat duduk bersila dihias langsir-langsir jarang, menghisap sisha (bara berperisa epal, strawberi yang disedut dengan paip panjang) dapat dilihat disekitar kawasan ini. Kalau siang hari, mau terbakar kulit tapi bila malam suasana sangat kondusif. Aku pun rasa macam pergi umrah pulak bila dikelilingi dengan pak Arab ni.

Habis refleksologi aku pun balik. Sampai hotel aku terus tidur, nanti nak bangun pagi. Kerja tak siap lagi. Aku kena kerja, akukan lelaki

CITRUS HOTEL 1

Assalamualaikum dan salam perpaduan.

Hari ni aku nak cerita tempat mesyuarat aku di Citrus Hotel, Jalan Tiong Nam, Off Jalan Raja Laut. Bila baca surat tu, aku memang tahu le jalan ni. Dulu aku belajar kat UTM, KL dan kawasan ni kawasan permainan aku. Mula-mula aku ingat ini hotel "rebranding" macam Hotel Quality atau Impiana Hotel tapi bila sampai, tempat ni memang aku tak tahu. Nasib baik aku naik teksi, kalau datang sendiri, memang tak jumpa.

Hotel ini bukannya kat main road tapi berada di lorong kecil. Nak masuk kena jumpa Pejabat PAS disebelah kanan, kemudian belok ke kiri dan kiri lagi. Hotel ini ada masalah parking yang serius. Dulu ada tempat parking tapi dah dibeli oleh individu lain. Maka tak de le parking. Kawan aku kena saman Bandaraya kerana meletak kenderaan di garisan kuning semasa kursus ni.

Kelebihan hotel ini ialah ia terletak di pusat bandar Chow Kit. Terdapat banyak gerai jualan jika kita mengikut jalan rentas jalan Raja Laut ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Ada gerai baju bundle, alat ketukangan, jam, kasut, aksesori handphone macam di Petaling Street. Pada malamnya aku dan rakan menyusuri Lorong Haji Taib menyaksikan manusia dan tempat refleksologi. Selain itu aku menyusuri Wisma Safuan, pasar Chow Kit terus keluar ke Pasar Raya Batu Road. Kehidupan di KL tidak pernah sunyi. Hasrat nak tengok uptown kat Chow Kit tidak kesampaian kerana keluar awal. Uptown biasanya bermula pukul 11.00 malam hingga 3.00 pagi.

KUNCI HILANG

Assalamualaikum dan salam perpaduan.

Hari ni aku panik sangat. Aku kena pergi KL untuk mesyuarat. Kekawan ajak naik flight. Aku setuju le kerana dah lama tak naik flight. Lagipun ada kekawan. Aku pun booking le kenderaan ke airport Senai. Member aku yang bawa. Dalam kelam kabut tu, aku pun mangga le beg aku. Rasa-rasa kunci tu aku letak dalam kocek seluar aku. Lepas tu aku tukar kemeja, aku pakai T-Shirt. Last aku ingat aku serahkan kunci van aku pada isteri aku.

Masa sampai airport, aku nak simpan talileher dalam kocek ke beg aku. Aku pun cari kunci mangga beg aku. Alamak hilang! Aku telefon member aku yang hantar tu, dia kata tak de. Aku telefon isteri aku, dia kata tak de. Aku bongkar beg perut aku, tak de. Aku selongkar beg komputer aku pun tiada. Aku pun menyusuri jalan yang aku lalu dari tempat aku turun kenderaan ke tempat aku berdiri 2-3 kali. Pilihan lain yang aku ada hanyalah simpan talileher tu dalam beg komputer aku. Memang sah mangga ni kena potong nanti.

Sampai di hotel, aku check in. Kepala aku fikir kat mana nak cari alat nak potong mangga ni. Aku nak cari gergaji. Nasib baik hotel ni dekat dengan bandar Chow Kit. Masa rayau-rayau tu jumpa le kedai alat ketukangan tetapi gergaji tak de. Aku beli le playar potong sisi. Aku ingat boleh le potong. Balik je bilik, aku mula operasi potong. Walaupun mangga aku kecil, besi mangga ni tak lut dengan pemotong tu. Pemotong tu pulak lekuk. Akhirnya aku potong cangkuk beg aku dan beg boleh dibuka. Perkara baru yang aku belajar ialah besi mangga ni memang keras. Mangga ni aku buang le sebab kunci dah takde. Lain kali aku akan memastikan lain kali aku simpan kunci mangga dengan baik.

Ada beberapa perkara yang boleh menjadikan kunci aku hilang.
  • jatuh semasa aku menukar baju
  • jatuh masa aku duduk dalam kenderaan
  • jatuh sewaktu aku turun dari kenderaan
  • jatuh semasa aku mengeluarkan tali leher
  • macam-macam yang ditentukan Allah
Itu le aku, aku makhluk Allah, aku lelaki.